Soalan 1
Apakah punca perut
buncit dan apakah senaman yang sesuai untuk mengempis perut buncit?
Jawapan 1
Terdapat banyak
punca abdomen membesar atau perut buncit, iaitu :
Pengumpulan lemak
di bahagian perut.
Masalah dalam
abdomen seperti fibroid.
Pengumpulan air
dalam rongga abdomen (ascitis) yang disebabkan oleh pelbagai penyakit.
Hamil
Sekiranya hasil
pemeriksaan mengesahkan punca perut buncit adalah pengumpulan lemak. Senaman
berikut boleh membantu mengatasi masalah ini, iaitu:
Baring telentang
dengan tangan di atas peha. Angkat bahu seolah hendak bangun ataupun seolah
hendak bawa tangan anda ke lutut. TIDAK perlu bangun habis, separuh sahaja,
asalkan boleh nampak kaki anda. Lakukan 20 ulangan dan boleh ditambah sekiranya
mampu.
Baring dengan
kedua-dua lutut bengkok ke atas dan tapak kaki di atas lantai. Siku pada paras
bahu (seolah tangan di belakang kepala), Bawa lutut kanan dan siku kiri menemui
satu sama lain secara serentak. Lakukan yang sama dengan siku kanan dan lutut
kiri. Jumlah ulangan boleh ditentukan mengikut kemampuan sendiri. Namun
disyorkan kalau boleh dalam 10 ulangan setiap kali. Lakukan dua atau tiga kali.
Lakukan senaman ini setiap hari.
Menambah bakteria
baik ke dalam usus. Penambahan bakteria baik dalam usus dapat dilakukan dengan
memakan makanan dan minuman yang mengandungi bakteria baik seperti susu masam
dan yogurt.
Soalan 2
Saya berumur 26
tahun. Saya pernah mengalami masalah buasir dengan tempoh pembuangan air besar
secara purata adalah 1 atau 2 kali seminggu. Saya tidak mengalami kesukaran
atau sakit ketika membuang air besar. Namun demikian, saya trauma dan
menjadikan saya takut untuk meneran. Saya hanya ke tandas jika benar-benar
terasa ingin membuang air besar. Selain itu, saya juga mengalami masalah angin
dan perut buncit. Tidak ada perubahan berlaku walaupun saya mengambil makanan
fiber seperti oat, roti gandum dan sayur hijau.
Jawapan 2
Anda mengalami
sembelit kerana hanya membuang air besar 1atau 2 kali seminggu dan penyebabnya
adalah anda takut meneran semasa membuang air besar kerana trauma apabila
mendapat buasir sebelum ini.
Sembelit
menyebabkan makanan berada lama dalam sistem usus anda dan mengalami proses
fermentasi atau penapaian. Proses ini menyebabkan pengeluaran gas yang
mengakibatkan anda berasa perut anda penuh. Makanan yang tinggi serat jika
berada lama dalam sistem usus juga akan menyebabkan pengeluaran gas yang
banyak.
Oleh itu, anda
boleh mengurangkan masalah ini dengan melatih diri untuk membuang air besar
dengan lebih kerap dan elakkan makan makanan yang tinggi penghasilan gas ketika
dihadam seperti kobis, brokoli, epal dan bijirin tinggi serat. Kunyah makanan
secara perlahan dan elak minum menggunakan straw kerana boleh meyebabkan angin
masuk dalam perut.
Soalan 3
Adakah normal jika
saya yang baru sahaja berumur 17 tahun mempunyai perut buncit? Tetapi, mengikut
pengiraan BMI yang saya buat di laman web kesihatan menunjukkan berat badan
saya normal. Apakah pandangan doktor mengenai permasalahan saya ini. Mohon doktor
berikan panduan untuk saya menangani masalah ini.
Jawapan 3
Masalah perut
buncit di kalangan remaja atau sesiapa juga bukanlah sesuatu yang normal. Bagi
kanak-kanak ia mungkin disebabkan oleh jangkitan cacing atau kekurangan
protein.Di kalangan remaja dan dewasa, ini menandakan terdapat simpanan lemak
di bahagian sekeliling perut. Ia juga menandakan otot perut yang lemah kerana
kurang senaman.
BMI hanya menilai
kesesuaian berat badan dengan ketinggian.Ia tidak mengukur lemak di dalam tubuh
badan. Buatlah ukuran lilitan pinggang atau lebih baik lagi ukuran peratus
lemak badan.
Soalan 4
Saya hendak tahu
bagaimana untuk mengurangkan berat badan dan perut buncit. Sebagai pengetahuan
Doktor, saya ada penyakit.
Jawapan 4
Pertama sekali,
saudari ada penyakit dan saudari perlu mendapat rawatan untuk penyakit yang
dialami. Lakukan senaman yang tidak memudaratkan kesihatan saudari. Berikut
adalah kaedah untuk mengurangkan berat badan dan mengempiskan perut buncit bagi
mereka yang normal:
Amalan Pemakanan
Sihat untuk menurunkan berat badan
Mencapai berat badan ideal adalah matlamat semua individu kerana ia penting
untuk kesihatan dan juga dari aspek kecantikan. Kaedah yang betul untuk
mengurangkan berat badan adalah dengan melakukan pengurangan berat badan secara
perlahan dan bukannya secara drastik. Pengurangan berat badan sebanyak 5 – 10%
dalam tempoh 6 bulan adalah matlamat yang realistik untuk dicapai. Apa yang
paling penting ialah motivasi diri untuk meneruskan usaha mengurangkan berat badan
sehingga berat badan ideal tercapai.Dalam tempoh 6 bulan, kebiasaannya individu
boleh menurunkan 10% berat badan. Contohnya jika berat badan anda ialah 100kg,
anda boleh menurunkan berat badan sebanyak 10kg iaitu sebanyak 1.5kg
sebulan.Namun begitu, anda harus memastikan makanan yang diambil adalah
seimbang dan anda juga tidak digalakkan untuk meninggalkan waktu makan (skip
meal). Disamping menjaga makan, bersenam dan melakukan aktiviti fizikal juga
boleh membantu anda untuk mengurangkan berat badan.Pelan diet yang paling mudah
diikuti untuk menurunkan berat badan dengan selamat adalah dengan :
Mengamalkan
pemakanan seimbang dengan mengurangkan makanan yang bergoreng, berminyak dan
bersantan serta kurangkan pengambilan kalori secara amnya.
Lebihkan
pengambilan sayur-sayuran, ulam-ulaman dan buah-buahan kerana kandungan fiber
yang tinggi akan menyebabkan perut berasa penuh dan anda lambat berasa lapar,
seterusnya mengurangkan pengambilan makanan.
Pilih atau sediakan
makanan dengan cara mengukus, merebus, memanggang dan jika perlu menggoreng
dengan menggunakan sedikit minyak sahaja.
Kurangkan
pengambilan minuman manis, gantikan dengan air kosong dan minum secukupnya
(sekurang-kurangnya 8 gelas sehari).
Meningkatkan
kecergasan anda dan hidup lebih aktif pada setiap hari.
Sila layari laman
web Portal MyHEALTH : Pengurusan Berat
Badan
Senaman untuk
menurunkan berat badan
Bagi mencapai
matlamat pengurangan berat badan, lakukan senaman sekurang-kurangnya 45 hingga
60 minit setiap hari.
Cara untuk membantu
mengurangkan berat badan dengan cepat, disyorkan anda melakukan senaman
jenis sederhana aktif contohnya aerobik, berjalan (brisk walking),
jogging, berbasikal atau bermain badminton secara beregu.
Soalan 5
Bapa saya mengalami
perut buncit dan kadang-kadang pedih ulu hati. Dia telah membuat rawatan di
hospital dan Doktor memberitahu bahawa hati bapa saya sudah rosak. Selepas
membuat rawatan susulan, Doktor memberitahu bahawa hati dia dijangkiti kuman.
Ini berlaku semasa dia diserang penyakit kuning. Doktor memaklumkan hati bapa
saya mengecut dan menyebabkan air yg sepatutnya masuk ke dalam hati turun ke
perut. Adakah bapa saya masih boleh dirawat dan bahayakah penyakit tersebut?
Jawapan 5
Kemungkingan bapa
saudari mengalami ascites atau komplikasi jangkitan hati
(hepatitis). Ascites ialah pengumpulan cecair berlebihan di dalam
ruang antara tisu-tisu yang melapisi perut dan organ-organ abdomen (kaviti
peritoneal). Ascites atau busung adalah tanda, bukanlah penyakit.
Punca-punca ascites ialah penyakit hati seperti alcoholic liver
disease, cirrhosis, kanser hati, hepatitis dan penyakit lain seperti
kegagalan jantung dan kegagalan buah pinggang.
Pelan rawatan
diberi adalah mengikut punca ascites dan keadaan pesakit.
Walaubagaimanapun, gejala ascites boleh dikurangkan dengan pemgambilan
ubat-ubatan seperti ubat diuretik untuk mengeluarkan air melalui air kencing,.
Mengurangkan pengambilan garam dalam diet harian dan Doktor juga mungkin akan
melakukan prosedur mengeluarkan cecair dari peritoneal kaviti dengan
menggunakan jarum saliran keluar (drainage).
Untuk mendapatkan
maklumat lanjut masalah bapa saudari, sila berbincang dengan doktor yang
merawat beliau.
Soalan 6
Saya seorang ibu
berusia 40 tahun, saya telah melakukan pembedahan cesarean 4 tahun
lalu. Masalah saya ialah perut saya kelihatan seperti mengandung (buncit).
Perkara yang sama juga dialami oleh kawan-kawan saya yang pernah melakukan
pembedahan cesarean. Adakah ia kesan daripada pembedahan tersebut
atau masalah lain? Apakah cara/langkah yang perlu saya lakukan untuk mengatasi
masalah ini.
Jawapan 6
Pembedahan cesarean bukanlah
punca kepada masalah perut buncit. Cara yang betul untuk mengatasi masalah
perut buncit selepas bersalin adalah dengan memastikan berat badan anda unggul
atau dalam lingkungan yang sepatutnya. Seterusnya mengurangkan makan makanan
yang berlemak dan berkalori tinggi.Lakukan senaman untuk menegangkan otot
abdomen (perut).
Soalan 7
Perut saya cepat
senak dan kelihatan buncit seperti perempuan mengandung dua atau tiga bulan.
Saya cuba merawat dengan menyapu losyen pati halia dan memakai korset. Namun
demikian, ia tidak mendatangkan apa-apa perubahan. Adakah kemungkinan perut
saya ada ketumbuhan?
Jawapan 7
Anda disarankan
mendapat khidmat nasihat daripada Doktor dan membuat pemeriksaan dengan
mana-mana doktor yang bertauliah di klinik khasnya berkaitan dengan masalah
senak perut dan perut buncit.
Soalan 8
Saya mengalami
masalah berat badan yang berlebihan serta mengalami perut buncit. Berat badan
saya ialah 76kg dan tinggi saya 170cm. Apakah aktiviti harian yang sesuai
kepada saya? Saya telah melakukan senaman di gym sekali seminggu dan banyak
berjalan tetapi tidak berjaya.Adakah senaman yang saya lakukan itu betul? Saya
berharap tuan/puan dapat membantu saya kerana umur saya sudah 26 tahun dan saya
mendapat tahu yang tahap metabolisme akan menjadi rendah apabila umur
menjangkau 25 tahun ke atas.
Jawapan 8
Langkah penting
untuk menguruskan badan adalah dengan mengawal pengambilan kalori berdasarkan
pengambilan diet seimbang mengikut keperluan harian individu. Di samping
meningkatkan penggunaan kalori oleh tubuh badan melalui senaman.
Langkah positif yang perlu anda ambil adalah dengan banyak berjalan dan
melakukan senaman di gymnisium. Dengan berjalan, anda telah melakukan aktiviti
aerobik. Sekiranya anda pergi ke gymnasium dan menggunakan peralatan
untuk angkat berat sebagai contohnya, anda telah melakukan aktiviti penegangan
otot (muscle toning).
Walaubagaimanapun, aktiviti senaman yang anda lakukan mungkin masih belum cukup
dari segi kekerapan dan intensiti. Lakukan senaman sekurang-kurangnya selang
sehari selama sekurang-kurangnya 30 minit tidak termasuk waktu ‘warm up’ dan ‘cool
down’. Cuba dapatkan denyutan nadi dalam lingkungan 125 ke 190 denyutan seminit
dan cuba kekalkan denyutan ini selama 20 hingga 30 minit. Adalah digalakkan
anda berbincang dengan doktor anda kerana keperluan diet dan jenis senaman yang
sesuai adalah bergantung kepada individu.
Soalan 9
Anak lelaki saya
baru sahaja berumur genap 11 bulan. Anak saya tidak banyak kerenah dan ragam
tetapi terlalu aktif. Masalahnya:
Kenapa badannya
kurus (sehingga menampakkan tulang rusuk) sedangkan selera makannya bertambah
dan tidak pernah putus susu.
Kenapa perut anak
saya kelihatan buncit? Buncitnya kelihatan lebih ketara selepas meminum susu.
Adakah ia normal bagi seorang bayi di usia begini?
Jawapan 9
Mengenai berat
badan anak yang tidak bertambah dan badannya yang kurus, saya syorkan supaya
puan membawa dia berjumpa dengan Doktor untuk diperiksa dan untuk memastikan
kesihatan dia adalah baik. Apabila anak sudah berumur lebih dari 6 bulan, dia
tidak boleh bergantung kepada susu sahaja dan ini merupakan sebab utama berat
badan mereka tidak naik. Selain dari memeriksa kesihatan anak, doktor juga
dapat memastikan yang dia mempunyai pembesaran dan perkembangan normal. Puan
boleh memantau pembesaran anak puan dengan berpandukan growth chart di dalam
kad rawatan bayi.
Berkaitan dengan
perut buncit, ia adalah perkara biasa pada peringkat umur awal kanak-kanak.
Walaubagaimanapun, adalah lebih baik mendapat pemeriksaan Doktor dan memastikan
ia bukan disebabkan oleh sakit-sakit tertentu.
Soalan 10
Saya berumur 21
tahun dan belum berkahwin. Masalah saya adalah perut saya buncit dan saya
berasa malu kerana perut saya kelihatan seperti mengandung. Apakah yang perlu
saya lakukan? Adakah saya perlu berjumpa dengan doktor?
Jawapan 10
Adalah sukar untuk
membuat kesimpulan tanpa melihat riyawat kesihatan dan pemeriksaan fizikal
terhadap anda. Perut membuncit ada banyak sebab seperti ascites (air), tumor,
obesiti dan lain-lain lagi. Nasihat kami, anda perlu berjumpa Doktor untuk
menyiasat masalah yang anda alami.Dapatkan nasihat dan rawatan dengan segera.
Ruj :- http://www.myhealth.gov.my/perut-buncit/
Melalui kaedah rawatan akupuntur beberapa titik yang
biasanya diberikan untuk merawat Ascites, antaranya adalah:
DU 20, LI 4, ST.36, ST.21, SP.9
Ruj : Clinical Acupuncture & Moxibustion “The Classical
Chinese Medicine”
#homeopati #akupuntur #bekam #homeopathy #acupuncture #alhijamah #natural #safe #nosideeffect #alami #selamat #rawang #bukitberuntung #nikomar #batu18 #tunteja #countryhomes #kgkenanga #tamanjati #tamanbersatu #batu16 #kgmelayu #tamanpelangi #islam #melayu #perempuan #garing #batuarang #bukitsentosa #saujanarawang #rawangperdana #tasikputeri #saujanautama
No comments:
New comments are not allowed.