Tekanan Darah
Tinggi
Apakah penyakit
tekanan darah tinggi?
Penyakit tekanan darah tinggi atau penyakit hipertensi adalah penyakit kronik yang boleh membawa kepada komplikasi teruk. Seramai 37% populasi Malaysia mengidap penyakit tekanan darah tinggi. Secara amnya penyakit tekanan darah tinggi tidak mempunyai penyebab khusus tetapi faktor seperti sejarah ahli keluarga yang mempunyai penyakit darah tinggi, obesiti, tekanan (stress) dan diabetes telah dikaitkan kepada punca penyakit ini. Pengidap tekanan darah tinggi lazimnya tidak mempunyai sebarang gejala (symptom) khusus. Tekanan darah yang tinggi akan menyebabkan organ-organ seperti jantung, otak dan ginjal didedahkan kepada tekanan tinggi yang kronik. Pendedahan kepada tekanan darah tinggi ini akan mengakibatkan komplikasi saluran darah sempit di otak dan jantung menyebabkan stroke (angin ahmar) dan serangan jantung. Kegagalan ginjal (buah pinggang) juga boleh berlaku jika tekanan darah yang tinggi tidak dikawal. Penyakit tekanan darah tinggi boleh dielakkan dengan mengamalkan cara hidup sihat.
Bilakah individu
itu dikatakan mengidap penyakit darah tinggi dan apakah tindakan yang perlu
dilakukan?
Seseorang itu dikatakan mengidap penyakit tekanan darah tinggi apabila bacaan tekanan darah sistolik >140 atau diastolik > 90, (>140/90). Bacaan tekanan darah tidak perlu kedua-duanya (sistolik dan diastolik) tinggi memadai salah satu bacaan tinggi secara berterusan selama 3-6 bulan. Diagnosa penyakit tekanan darah tinggi hanya boleh dilakukan oleh doktor setelah pemantauan tekanan darah dan penilaian risiko kardiovaskular dijalankan. Penentuan kepada penyakit darah tinggi tidak bergantung kepada gejala (simptom) yang di alami oleh individu tersebut. Contohnya sakit kepala atau leher tidak semestinya disebabkan oleh tekanan darah tinggi. Oleh kerana secara amnya penyakit tekanan darah tinggi tidak mempunyai gejala khusus, individu hendaklah membuat pemeriksaan tekanan darah sekurang-kurangnya 6 bulan sekali di klinik kesihatan yang berdekatan. Doktor akan memberi rawatan yang sesuai jika diagnosa penyakit tekanan darah tinggi telah dikenal pasti.
Bilakah bacaan
tekanan darah dikatakan tinggi dan apakah cara untuk memastikan tekanan darah
sentiasa normal?
Bacaan tekanan darah yang normal dan tidak memerlukan rawatan, bacaannya adalah seperti berikut iaitu tekanan darah sistolik < 140 dan diastolik < 90 (<140/90). Walau bagaimanapun, tahap tekanan darah sistolik 120 – 139 atau diastolik 80 – 89 (120–139/80–89) dianggap pra-tekanan darah tinggi (pre-hypertensive) dan memerlukan rawatan perubahan cara hidup (non-pharmacological) untuk memastikan tekanan darah dapat dikawal dan tidak memerlukan rawatan ubat-ubatan. Untuk pengidap penyakit tekanan darah tinggi, bacaan tekanan darah yang perlu dicapai secara amnya adalah <140/90 menggunakan rawatan ubat-ubatan (pharmacological therapy) dan bukan ubat-ubatan (non-pharmacological therapy). Pemantauan tahap tekanan darah akan dilakukan oleh doktor secara berkala. Matlamat rawatan adalah untuk mencapai tahap tekanan darah normal. Individu perlu menjalankan cara hidup sihat dan pengendalian stress yang berkesan supaya tekanan darah akan sentiasa berada di tahap normal.
Apakah rawatan
penyakit tekanan darah tinggi dan kesan sampingannya?
Penyakit tekanan darah tinggi boleh dirawat oleh doktor yang berdaftar. Rawatan berbentuk pil dan ia boleh didapati dari premis kesihatan kerajaan dan swasta. Mekanisma rawatan adalah pelbagai dan ia termasuk rawatan perlindungan kepada ginjal/buah pinggang (renal protective therapy). Sebarang rawatan hendaklah dipantau oleh doktor dan ubat tidak boleh dibeli di kedai farmasi tanpa pemantauan rapi. Tidak dinafikan sebarang rawatan perubatan mempunyai kesan sampingan termasuklah rawatan tekanan darah tinggi. Namun begitu kesan sampingan adalah sedikit, tidak merbahaya, bersifat sementara dan boleh dirawat oleh doktor. Jika pesakit mendapat sebarang kesan sampingan dengan rawatan yang diberi, pesakit hendaklah bejumpa doktor supaya ia boleh dirawat dengan segera. Pesakit tidak digalakkan untuk meninggalkan rawatan kerana ini akan menyebabkan tekanan darah meningkat dengan mendadak dan boleh menyebabkan stroke (angin ahmar) atau kematian. Tambahan, pesakit juga tidak digalakkan untuk bertukar doktor dengan kerap (doctor shopping) kerana langkah ini boleh menyebabkan komplikasi lanjut dan pengendalian penyakit tekanan darah tinggi yang sub-optima. Pengendalian penyakit tekanan darah tinggi memerlukan pengurusan rawatan komprehensif dan multidisiplin. Oleh itu adalah penting untuk pesakit mematuhi temujanji rawatan susulan di klinik kesihatan atau hospital kerajaan dan swasta.
Apakah peranan
supplemen dan rawatan komplementari tradisional (traditional complementary
medicine) di dalam mengawal tekanan darah tinggi?
Sehingga kini,
tiada bukti saintifik perubatan (evidence based medicine) yang
menyarankan penggunaan rawatan perubatan tradisional dan supplemen untuk
mengawal tekanan darah tinggi. Penggunaan rawatan sedemikian masih memerlukan
kajian lanjut. Pesakit yang ingin menggunakan perubatan tradisional dan
supplemen untuk merawat tekanan darah tinggi hendaklah merujuk kepada Doktor
untuk memastikan ia berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan selamat
digunakan.
Pesakit yang sedang menggunakan rawatan perubatan tradisional dan supplemen hendaklah berjumpa Doktor supaya tekanan darah dapat dipantau dan sebarang kesan sampingan dapat dirawat sewajarnya. Ini adalah kerana kesan sampingan yang dialami oleh pesakit tidak sama di antara satu individu dengan individu yang lain.
Apakah komplikasi
penyakit tekanan darah tinggi?
Penyakit tekanan
darah tinggi merupakan salah satu penyakit kronik. Essential hypertension atau primary
hypertension adalah penyakit tekanan darah tinggi (hypertensi) yang paling
kerap berlaku.Penyakit tekanan darah tinggi juga boleh disebabkan oleh masalah
buah pinggang, penyakit endokrin dan lain-lain.
Tekanan darah
tinggi yang kronik akan menyebabkan perubahan atherosclerosis pada
dinding salur darah. Ini akan mengakibatkan salur darah menjadi sempit pada
jantung, otak dan salur darah utama. Pengaliran darah menjadi tidak lancar dan
boleh mengakibatkan stroke (angin ahmar) dan serangan jantung (heart
attack myocardial infarction). Tekanan darah tinggi yang tidak terkawal juga
akan menyebabkan buah pinggang mengalami tekanan tinggi yang kronik. Ini akan
menyebabkan kerosakan kepada tisu buah pinggang dan selanjutkan akan
mengakibatkan kegagalan buah pinggang.
Pesakit yang menghidap penyakit tekanan darah tinggi hendaklah mendapat rawatan lanjut daripada Doktor di klinik kesihatan atau hospital terdekat.
Apakah
perkara-perkara yang boleh menyebabkan peningkatan kepada tekanan darah?
Tekanan darah boleh
meningkat dalam keadaan tertentu seperti stress, gelisah, penat,
kesakitan, berdebar-debar, ketakutan dan sebaik selepas melakukan aktiviti
fizikal seperti bersenam. Walau bagaimanapun ini tidak bermakna individu itu
mempunyai penyakit tekanan darah tinggi kerana tekanan darah ini akan kembali
normal. Diagnosa penyakit tekanan darah tinggi (hipertensi) dibuat apabila
tekanan darah tinggi berterusan selepas pemantauan dilakukan dalam jangkamasa
3-6 bulan.
Untuk mendapatkan
bacaan tekanan darah yang tepat, beberapa perkara harus diambil kira dengan
memastikan alat pengambilan tekanan darah adalah dalam keadaan baik. Anda juga
hendaklah berada dalam keadaan yang tenang dengan posisi badan yang betul dan
tidak merokok atau mengambil kefein dalam tempoh 15 minit sebelum pemeriksaan
tekanan darah. Oleh itu keadaan berdebar-debar dan tidak cukup rehat semasa
pengambilan tekanan darah akan mempengaruhi bacaan tekanan darah tersebut.
Merokok, pengamalan cara hidup sedenteri (tidak aktif), stress dan pemakanan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi. Anda digalakkan membuat pemeriksaan tekanan darah di premis kesihatan yang terdekat sekurang-kurangnya 6 bulan sekali.
Bagaimana cara
untuk mengawal tekanan darah tinggi?
Cara untuk mengawal
tekanan darah tinggi adalah:
Mengamalkan cara hidup
yang sihat seperti bersenam secara berkala.
Amalkan permakanan
sihat dan seimbang
Kurangkan
pengambilan makanan yang mengandungi garam dan kolesterol berlebihan
Kekalkan jisim
berat badan unggul (BMI <23)
Pengurusan stress secara
berkesan
Tidak merokok
Mengamalkan cara
hidup aktif
Menjalankan
pemeriksaan tekanan darah secara berkala
Selain dari langkah-langkah di atas, pesakit yang menghidap penyakit tekanan darah tinggi hendaklah patuh kepada rawatan ubat-ubatan yang diberi oleh Doktor.
Apakah Tanda Dan
Gejala Penyakit Tekanan Darah Tinggi?
Penyakit tekanan darah tinggi (hipertensi) adalah salah satu penyakit kronik yang ditakuti oleh orang ramai dan berbahaya jika tidak dikesan dan dikawal. Malah seseorang itu tidak mengetahui dirinya menghidap penyakit tekanan darah tinggi kerana tiada gejala dan tanda khusus yang dialami. Walau bagaimanapun gejala seperti sakit kepala yang teruk dan sakit tengkuk mungkin disebabkan oleh tekanan darah yang tinggi. Tetapi individu yang mengalami gejala ini hendaklah berjumpa Doktor untuk mendapatkan kepastian iaitu dengan mengambil bacaan tekanan darah. Penyakit tekanan darah tinggi yang tidak terkawal akan menyebabkan komplikasi stroke (angin ahmar) dan serangan jantung.
Apakah faktor
risiko untuk mendapat penyakit tekanan darah tinggi?
Penyakit tekanan
darah tinggi (hipertensi) dikaitkan dengan beberapa faktor risiko. Faktor
risiko terbahagi kepada faktor risiko yang boleh diubah dan faktor risiko yang
tidak boleh diubah.
Contoh faktor
risiko yang tidak boleh di ubah adalah:
Sejarah keluarga
(genetik)
Gender (lelaki
lebih berisiko berbanding dengan perempuan)
Umur (peningkatan
umur memberi risiko kepada tekanan darah tingg)
Contoh faktor
risiko yang boleh diubah:
Merokok
Diabetes
Obesiti
Tahap kolesterol
yang tinggi
Pengambilan alcohol
Pengambilan garam
berlebihan
Stress
Cara hidup
sedenteri (tidak aktif)
Faktor risiko di atas boleh diubah melalui pengamalan cara hidup sihat dari aspek pemakanan dan aktiviti fizikal. Pengurusan stress juga membantu mengawal tekanan darah
Apakah amalan cara
hidup sihat yang di sarankan untuk mengekalkan tekanan darah normal
Amalan cara hidup
sihat yang disarankan adalah:
Mengekalkan berat
jisim badan unggul BMI <23 dengan mengamalkan pemakanan seimbang dan
sihat serta aktiviti ffizikal yang bersesuaian
Aktiviti fizikal
secara berterusan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu
Berjalan kaki
secara deras adalah satu-satunya cadangan aktiviti fizikal yang praktikal
(10,000 langkah)
Tidak merokok
Kurangkan
pengambilan makanan yang berkolesterol tinggi
Kurangkan
pengambilan garam secara berlebihan
Elakkan pengambilan
alcohol
Pengurusan stress
dan emosi secara berkesan
Cadangan-cadangan di atas boleh membantu menggurangkan risiko menghidap penyakit tekanan darah tinggi. Ia juga boleh membantu pengidap tekanan darah tinggi mencapai tahap bacaan normal selain dari bantuan rawatan ubat-ubatan. Sekiranya pengidap penyakit tekanan darah tinggi atau sebarang individu menghadapi masalah untuk melaksanakan cadangan-cadangan di atas, mereka bolehlah pergi ke klinik kesihatan atau hospital berdekatan untuk mendapat khidmat nasihat daripada Doktor, pegawai sains pemakanan, pegawai dietetik dan pegawai fisioterapi.
Bagaimanakah cara
untuk menilai tahap tekanan darah?
Penilaian tekanan
darah boleh dibuat menggunakan BP set seperti yang terdapat di klinik
kesihatan dan hospital kerajaan dan swasta. Bacaan tekanan darah hendaklah
diintepretasi oleh Doktor. Sebarang tindakan selanjutnya akan diberi oleh
Doktor yang membuat pemeriksaan. Saringan tekanan darah tinggi menggunakan BP
set hendaklah dilakukan sekurang-kurangnya sekali dalam jangkamasa 6–12
bulan.
Individu juga boleh
membeli BP set dari kedai farmasi dan membuat pengukuran tekanan
darah sendiri (self-monitoring BP) tetapi semua bacaan tekanan darah yang
diambil hendaklah direkodkan. Intepretasi bacaan hendaklah dirujuk kepada
Doktor.
Ruj :- http://www.myhealth.gov.my/tekanan-darah-tinggi-2/
Melalui keadah perubatan homeopathy antara remedy yang
diberi adalah :-
Ruj :- select you remedies
No comments:
New comments are not allowed.